Monday, March 16, 2015

Ringo BH4BPO Cycling Ham Malaysia - China (Part 2 - Thailand)

Kemas kini/Update : 16/4/2015 0755 mst

15 Mac 2015 - Day 10 (Padang Besar - Hatyai) : 58 km

Jam 12 tengah hari, sebaik sahaja Ringo sampai di Padang Besar, Ringo terus menuju ke pintu sempadan Malaysia - Thailand. Info daripada Ringo, pemeriksaan Kastam dan Imigresen di sempadan berjalan lancar. Menjelang 12.30 tengah hari, Ringo sudah berada di bumi Thailand.

Kemudian, sekitar jam 2.40 petang baru saya dapat mesej daripada Ringo mengatakan bahawa dia telah mendapatkan simkad telefon Thailand dan internetnya kembali berfungsi. Ringo memulakan kayuhannya ke Hatyai sekitar jam 3.00 petang. Katanya, bahasa dan budaya di Thailand sangat berbeza dan itu yang menjadikan pengalaman unik baginya...

Ringo mengikut laluan no. 1027 sebelum masuk laluan no.4. Tidak banyak info yang saya dapat daripada Ringo sepanjang kayuhanya  menuju ke Hatyai. Menjelang jam 7.20 malam, Ringo
sampai di sebuah resort yang menjadi penginapannya hari ini. Menurut Ringo, hanya dia yang menginap di situ dan bilik yang disediakan besar lengkap dengan penghawa dingin dan katil saiz queen. 4 orang pun boleh masuk... katanya. Tambahan pula kadar sewanya hanya 30% berbanding hotel biasa di Malaysia.

16 Mac 2015 - Day 11 : Hatyai - Songkla (About 40km)
Ringo memaklumkan, bahawa dia akan berada sehari lagi di Hatyai. Kesempatan itu digunakan untuk berkayuh di sekitar bandar Hatyai. Menjelang tengah hari baru Ringo bergerak menuju ke sana.

Info dan gambar terbaru yang diterima daripada Ringo jam 3 ptg ni, memberitahu bahawa dia sedang meluangkan masa di Klanghae Floating Market.

Katanya, pemandangan dan pengalaman yang menyeronokkan di sini, lebih-lebih lagi hanya dia seorang sahaja pelawat di sana... "I am the only visitor here, can u believe it?" Emmm, untunglah Ringo.. dapat layanan VIP! hi hi

Selepas ini, dia akan berkayuh menuju utara bandar Hatyai - kawasan pantai... dan seterusnya menuju ke Songkla.

Ringo mengatakan bahawa dia akan bermalam di Songkla. Sebelah malamnya, Ringo menghabiskan masa dengan pergi ke pasar malam Songkla.

17 Mac 2015 - Day 12 : Songkla - Thale Noi (121 km)
Info daripada Ringo, target desitinasi seterusnya adalah Krabi. Mungkin mengambil masa 2 hari katanya.

Untuk kayuhan hari ini, dia akan menuju ke Thale Noi dahulu... agak lambat juga Ringo memulakan kayuhan dari Songkla. Jam 11 pagi baru Ringo mula bergerak mengikuti laluan no. 408 menyusuri jalan pantai. Katanya, pemandangan sepanjang laluan memang menarik... kawasan pantai yang tenang. Hanya kelihatan nelayan menangkap ikan...

Kemudian, Ringo singah di suatu tempat untuk makan tengah hari,,, murah katanya... hanya USD 1.80. Ringo meneruskan kayuhan di kawasan pantai dan berpaya sambil ditemani tiupan bayu dan burung-burung berterbangan di udara...

Pemandangan yang paling menarik bagi Ringo ketika melalui kawasan tersebut ialah menyaksikan matahari terbenam. Sempat Ringo mengambil merakam moment tersebut sebagai kenangan. Sekitar jam 6.40 petang
, Ringo tiba di Thale Noi untuk berehat dan bermalam di sana.
Hanya RM50 untuk bilik keluarga di kabin atas air.


18 Mac 2015 - Day 12 : Thale Noi - Trang about 92km
Pagi ini Ringo dihidangkan dengan pemandangan indah di kawasan penginapannya. Suasana tasik dengan bunga teratai mekar berseri menghiasan lanskap di sana.

Bagaimana pun, Ringo belum menetapkan destinasi kayuhannya. Mungkin ke Trang... nantikan keputusan Ringo!

Ye, Ringo menetapkan destinasi kayuhannya ke Trang. Walaupun hanya bergerak sekitar jam 11 pagi dari Thale Noi, tetapi Ringo berjaya sampai di Trang sekitar jam 6 petang. Katanya, kali ini terpaksa melalui jalan berbukit dan ada kalanya kelajuan basikalnya mencecah 60km/j semasa menuruni bukit...

19 Mac 2015 - Day 13 : Trang - Krabi (127 km)
Pagi ini Ringo mengambil keputusan untuk bergerak awal. Jam 8 pagi lagi dia sudah memulakan kayuhannya. Pada mulanya Ringo berkayuh mengikut laluan no. 4 tetapi kemudiannya mengambil laluan kampung - katanya untuk melihat sendiri kawasan perkampungan.

Ringo meet up HS9KBY and E22SBM
Sekitar jam 9.15 pagi, Ringo berjumpa HS9KBY dan E22SBM. Mereka menjejaki Ringo melalui aprs. Inilah kali pertama Ringo berjumpa rakan Ham Thailand setelah 4 hari berkayuh di sana. Walaupun begitu, mereka telah saling berhubung melalui whatapss.

Kemudian, Ringo meneruskan kayuhannya melalui jalan kampung. Berhenti seketika untuk sarapan pagi sebelum kembali berkayuh dan masuk kembali ke laluan no.4 dan meneruskan kayuhan ke Krabi. Sampai di Krabi, Ringo disambut rakan ham Krabi HS8FLU dan HS8JWH.
Ringo - Islands Hopping



20 Mac 2015 - Day 14 : Krabi - Islands hopping & kayaking
Hari ini, Ringo meluangkan masa dengan melakukan aktiviti menjelajah pulau-pulau sekitar Krabi dan aktiviti berkayak. Bagi Ringo, Krabi adalah tempat yang padat dengan pelancong... keadaan ini membuatkan dia kurang selesa... bagaimanapun, layan je la... katanya... hi hi. Ringo bermalam di chalet di salah sebuah pulau di sana.


21 Mac 2015 - Day 15: Krabi - Phang-nga (80km)
Selepas bergerak dari pantai Krabi, Ringo menuju ke pekan Krabi untuk mengambil semula basikalnya di sana. Tengah hari baru Ringo bergerak menuju ke pekan Phang-nga kira-kira 80km dari Krabi. Ikut perancangan awal, Ringo hendak terus ke Khao Sok National Park tetapi terpaksa ditangguhkan dulu kerana jarak 160km tidak dapat dicapai Ringo dan terpaksa bermalam di mana-mana pekan di pertengahannya. Ringo sampai di Phang-Nga sekitar jam 6 petang dan menginap di rumah rehat Phang-Nga pada kadar 500 Bath semalam. Katanya, semasa di sana, dia membeli dua sikat pisang dengan RM1 sahaja.


22 Mac 2015 - Day 16 : Phang-nga - Khao Sok National Park (81km)
Ringo bangun agak lewat hari ini. Bagaimanapun dia akan meneruskan rancangannya ke Khao Sok National Park. Kali ini, Ringo diuji dengan bentuk muka bumi yang berbukit-bukau... ada ketikanya, Ringo terpaksa menuntun basikalnya mendaki bukit.... namun, dengan semangat yang membara, jarak kayuhan 81km itu berjaya juga diharunginya. Kepenatan Ringo hilang setelah melihat pemandangan bukit-bukau di selang-seli dengan sungai malah katanya, dia sempat mandi sungai bersama kanak-kanak tempatan di sana.

Trek Phang-nga ke Khao Sok National Park
23 Mac 2015 - Day 17 : Khao Sok National Park
Hari ini, Ringo akan mengikuti pakej menjelajah sekitar taman berkenaan. Pekej tersebut meliputi aktiviti menjelajah hutan, meneroka gua  dan menaiki bot meninjau suasana kehijauan alam semulajadi yang masih terpelihara keasliannya.

Menurut Ringo pakej berharga lebih 1300 Bath itu agak mahal tetapi berbaloi malah baginya, lebih menyeronokkan berbanding pengalamannya di Krabi sebelum ini. Jelas tergambar kepuasan di wajah Ringo melalui gambar-gambar yang dikongsikan melalui whatapps kepada saya. Setakat ini, keseluruhan jarak kayuhan Ringo sudah menjangkau 1560 km.

Ringo BH4BPO di Khao Sok National Park

24 Mac 2015 - Day 18 : Khao Sok National Park - Surat Thani (123km) + Chaiya (20km)
Hari ini, Ringo akan berkayuh menuju ke Surat Thani... Ringo menempuh perjalanan berbukit sebelum sampai ke pantai timur semula. Ringo memberitahu dia akan ke utara sedikit daripada bandar Surat Thani supaya jarak kayuhannya untuk esok hari tidak terlalu jauh. Jadi Ringo mengambil keputusan untuk menuju ke sebuah pekan kecil bernama Chaiya.

Di Chaiya, Ringo memberitahu bahawa pasar malamnya tutup jam 8 malam, bertemu dengan beberapa orang pelancong asing dan dapat penginapan RM45 semalaman.

25 Mac 2015 - Day 19 : Chaiya - Chumphon (140km)
Ringo berkayuh menuju ke Chamhon. Semasa di Chaiya, Ringo bertemu dengan pasangan dari Holland yang juga telah berbasikal menjelajah dunia lebih 2 tahun. Dalam perjalanan ke Chumphon, Ringo bertemu pula dengan sorang cyclist dari Britain dan berkayuh bersama-sama lebih kurang 60km, Kemudian, Ringo mengayuh berseorangan menuju ke Champhon.

26 Mac 2015 - Day 20 : Champhon - Thungwualen Beach (20km)

27 Mac 2015 - Day 21 : Thungwualen Beach

28 Mac 2015 - Day 22 : Thungwualen Beach - Wat Bang Beach

29 Mac 2015 - Day 23 - Wat Bang Beach - Prachuap

30 Mac 2015 - Day 24 - Prachuap - Hua hin (114km)

31 Mac 2015 - Day 25 - Hua Hin - Phetcaburi

1 Apr 2015 - Day 26 - Phetcaburi - Bangkok

2 Apr 2015 Bangkok - Chiang Mai

3 - 7 Apr 2015 - Around Chiang Mai City

8 Apr 2015 - Chiang Mai Airport - Shanghai Airport - Journey end.

Ringo menamatkan kayuhannya di Stesen keretapi Bangkok. Selepas ini dia akan menaiki keretapi api ke Chiang Mai. Sepanjang  26 hari kayuhan tersebut, Ringo telah berkayuh sekitar 2500KM. Hasrat Ringo untuk berkayuh balik ke Shanghai terpaksa dipendekkan kerana kekangan masa dan masalah pencemaran udara yang teruk di Laos akibat kebakaran hutan.

Apapun, tahniah kepada Ringo atas kesungguhan yang ditunjukkan. Moga boleh menjadi contoh kepada kita dan menjadi kenangan manis Ringo sepanjang kayuhannya di Malaysia,

Jumpa lagi.